Recent Posts

Wednesday, January 23, 2013

Filem Hollywood Terhangat 2013 Bakal Ditayangkan

FEBRUARI
Februari menyaksikan filem-filem dijangka hit daripada pelbagai genre berentap, dengan Bruce Willis kembali sebagai John McClane dalam filem aksi "A Good Day To Die Hard", Stephen Chow kembali dengan filem komedi/pengembaraan arahan terbarunya, "Journey o the West" selepas filem terakhirnya, "CJ7" (2008), kisah fantasi "Jack The Giant Slayer" lakonan Ewan McGregor pula diolah semula oleh pengarah "X-Men", Bryan Singer.
Selain itu, karya epik fiksyen sains adaptasi novel David Mitchell, "Cloud Atlas" pula bakal dipersembahkan dalam bentuk filem dan dibarisi pelakon-pelakon hebat termasuk Tom Hanks, Jim Sturgess, Halle Berry dan aktres Korea, Bae Doo-na. 

MAC
Selepas "Inglourious Basterd", Quentin Tarantino kembali dengan filem terbarunya, "Django Unchained" yang berkonsepkan kebaratan, menampilkan Jamie Foxx sebagai koboi berkulit hitam bernama Django. Filem ini turut dibintangi Leonardo DiCaprio, Christopher Waltz, Samuel L. Jackson dan Kerry Washington.
Selain "Django Unchained", sebuah lagi filem francais G.I Joe, "G.I Joe: Retaliation" bakal menemui penonton, dan Jon Chu ("Step Up 3D") kembali menduduki kerusi pengarah. Begitu juga Lee Byung-hun yang akan kembali, sekalipun wataknya, Storm Shadow sudah pun mati dalam filem "Rise Of The Cobra"! 

APRIL
Para peminat francais "Twilight" dan novelis Stephenie Meyer pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menonton 'kisah cinta makhluk asing' karya Meyer dalam bentuk filem melalui "The Host". Jika tidak, mungkin fokus itu boleh dialihkan kepada filem komedi romantik bertemakan 'cinta zombie', "Warm Bodies" lakonan Nicholas Hoult ("X-Men: First Class") dan John Malkovich.
Para peminat filem kult klasik Sam Raimi, "The Evil Dead" juga boleh meluangkan masa untuk filem buatan semulanya yang bakal ditayangkan 18 April ini. Jika tidak, "Iron Man 3" ada untuk menghiburkan anda semua, kini dengan antagonis baru, The Mandarin lakonan Ben Kingsley. Bagaimana watak The Mandarin dilakonkan oleh seorang lelaki India-British, kami juga tidak pasti. 

MEI
Jika anda tidak mahu menonton "The Hangover 3" atau "Fast and Furious 6", bulan Mei menawarkan "Star Trek: Into The Darkness" lakonan Chris Pine, Zachary Pinto dan bintang "Sherlock", Benedict Cumberbatch.
Selain itu, Leonardo DiCaprio, raja filem-filem kostum lama, kembali dengan sebuah lagi filem adaptasi F. Scott Fitzgerald, "The Great Gatsby" yang turut dilakonkan Tobey Maguire dan Carey Mulligan. 

JUN
Jun menyaksikan kembalinya 'raksasa' kesayangan ramai, Mike dan Sulley ketika belajar di universiti. Filem prekuel "Monsters Inc." ini turut dibintangi pelakon suara dari filem animasi asal, termasuk Billy Crystal, John Goodman dan Jennifer Tilly.
Sementara itu, satu lagi percubaan untuk membawa Superman kembali, "Man Of Steel" bakal ditayangkan pada bulan yang sama. Kali ini Henry Cavill akan melakonkan watak Clark Kent/Kal-El dan Amy Adams akan memegang peranan sebagai Lois Lane.
Sementara itu, Brad Pitt pula kembali dengan filem adaptasi novel Max Brooks, "World War Z", mengenai seorang wakil PBB yang mengembara di serata dunia mencari mereka yang terselamat daripada apokalips zombie. 

JULAI
Tidak bosan dengan watak yand menaikkan namanya, Hugh Jackman kembali ke layar perak sebagai Logan/Wolverine dan kini watak X-Men kesayangan ramai itu dibawa ke zaman moden Jepun. Filem ini turut dibintangi bintang Jepun Hiroyuki Sanada ("The Last Samurai") dan Tao Okamoto.
Sementara itu, tidak bosan dengan watak yang memerlukan solekan, Johnny Depp bakal bergandingan dengan bintang "The Social Network", Armie Hammer dalam penghasilan semula "The Lone Ranger" sebagai 'sidekick' John Reid, Tonto. Jika anda tidak meminati semua itu, Dr Gru dan para pengikutnya yang comel bakal kembali dalam animasi "Despicable Me 2".



 

OGOS
Ogos menyaksikan kembalinya filem-filem sekuel. Dalam "300", Zack Snyder mengolah semula kisah Pertempuran Thermopylae. Kini dalam sekuel filem tersebut, Pertempuran Artemisia pula dijadikan subjek utama, di mana kumpulan sekutu negara kota Greece menentang Empayar Parsi.
Sementara itu, anda sangka filem ini tidak akan melihat sambungannya. Tetapi tiga tahun selepas "Percy Jackson & The Olympians: The Lightning Thief" ditayangkan, pemuda separa dewa ini kembali dalam "Percy Jackson: Sea Of Monsters", di mana anak kepada dewa Poseidon ini perlu menyelamatkan rakannya Grover daripada kumpulan cyclop, Polyphemus dan juga Kem Half-Blood daripada serangan Titan dengan membawa pulang bulu biri-biri emas. 

SEPTEMBER
Jika anda bukan seseorang yang menyukai makhluk biru yang mempunyai lagu tema yang agak mudah dihafal ("The Smurf 2"), anda boleh meluangkan September anda menonton sebuah lagi filem Riddick lakonan Vin Diesel. Dalam "The Chronicles Of Riddick: Dead Man Stalking", Riddick menentang serangan makhluk asing pemburu dan membalas dendam demi menyelamatkan planet Furya dari kemusnahan. 

OKTOBER
Bintang Aussie berbadan sasa, Chris Hemsworth kembali dalam sekuel "Thor" dan pertempuran antara Thor dan Loki, saudaranya yang jahat. 

NOVEMBER
Sementara Chris sibuk dengan "Thor", adiknya Liam Hemsworth pula bakal kembali sebagai Gale dalam "The Hunger Games:Catching Fire" disamping dua teraju utamanaya, Jennifer Lawrence dan Josh Hutcherson. Dalam filem kedua trilogi THG ini, Katniss harus kembali ke gelanggang Hunger Games sementara cuba memahami perasaannya dan hakikat sebenar di sebalik perlawanan kalah mati tersebut.

DISEMBER
Selepas "The Wolverine", bintang Jepun Hiroyuki Sanada kembali dengan sebuah lagi filem bertemakan samurai, "47 Ronin" sebagai samurai tidak bertuan dalam filem tentang seorang lelaki campuran bernama Kai (lakonan Keanu Reeves) yang jatuh cinta pada seorang puteri (lakonan Shibasaki Kou).
Sementara itu, bahagian kedua filem adaptasi "The Hobbit" arahan Peter Jackson kembali dan memfokus pada naga, Smaug yang mengawal harta di Erebor yang menjadi buruan Bilbo Baggins dan rakan pemburuannya.


No comments: